Thursday 29 September 2011

Kapal Layarku. (ide asli dari Topek)

       Pertama kali menjadi anak kapal, aku berasa sangat teruja. Aku tidak sabar untuk belayar di samudera yang dalam, penuh gelora dan ribut yang tidak tahu tahap bahayanya. Di kapal layar ini lah aku mengenali anak-anak kapal dari setiap pelosok. Pelbagai ragam dan pelbagai latar belakang budaya.
       Pelayaran bermula, layar yang masih putih dilabuhkan dan anak-anak kapal sibuk dengan tugas masing-masing. Pelbagai ujian aku tempuh bersama anak-anak kapal yang lain.Ujian-ujian inilah yang menampakkan aku   siapa anak kapal lama dan anak kapal baru. Aku dapat melihat anak kapal lama yang bersungguh-sunggu memerah keringat, membanting tulang menyelamatkan kapal layar ini untuk terus megah belayar di samudera yang penuh pancaroba. Si anak kapal yang masih baru pula terkial-kial, termengah-mengah tidak tahu dan masih jahil ilmu pelayaran bersama kapal layar yang megah ini. Begitu juga aku, tapi dengan tunjuk ajar anak-anak kapal lama, kami yang cetek ilmu menjadi lebih tahu. Kadang tidak perlu meminta-minta pertolongan dari anak-anak kapal lama. Si nakhoda kapal pula, tetap dengan arahan-arahannya dan melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin kepada anak-anak kapal lama dan baru. Pemimpin yang juga akur kepada Si Pemilik kapal yang telah menetapkan hala tuju kapal layar ini. Pelabuhan demi pelabuhan sauh dilabuhkan. Pelbagai yang indah-indah aku lalui bersama anak-anak kapal lama dan baru. Tapi....
        Kini yang indah-indah jadi sejarah yang terus dikenang-kenang. Ada anak kapal lama yang telah pergi, yang setia terus kekal belayar bersama kapal layar ini. seperti mana aku mula-mula dulu, begitu lah perilaku Si anak kapal baru selepas aku. Si Kapal layar pula bertukar milik, begitu juga nakhodanya.Si pemilik pula menunjukkan kekuasaannya dengan cara lain, yang tidak sama dengan sebelumnya. Kononnya, agar kapal layar belayar dengan lebih selamat tanpa kecelakaan yang menghalang. Arahan-arahan yang kadang tidak kena diterima dek nakhoda baru, padahal si nakhoda sudah tau corak pelayaran yang sebelumnya.  Dan kerana takut hilang hormat dan pangkat, arahan diturut juga. Si anak kapal yang masih baru menurut arahan tanpa tahu banding pelayaran kini dan sebelum. Si anak kapal lama menurut arahan walau hati berbelah bagi dengan corak pelayaran kini. Kerana cinta dan sayang pada kapal layar ini, si nakhoda dan anak kapal lama terus akur arahan pemilik yang katanya tahu semua ilmu pelayaran daripada kehilangan kapal layar selagi bukan pada masanya.

        Kapal layarku, kini layar putihmu sudah semakin lusuh. Apakah ini tanda kejatuhanmu? Apakah ini tanda harimu kian tiba? kini sauhmu tidak lagi seutuh dulu untuk mencengkam dasar laut yang pelbagai  muka.Apakah ini tanda kemegahanmu akan menjadi sejarah? 
        Beringatlah wahai Si pemilik kapal, sebelum arahan dibacakan, sedarlah bahawa arahan itu belum tentu membawa kapal layar ini ke destinasi dengan selamat dan jayanya. Biarlah Si nahkoda dan anak-anak kapal lama yang lebih arif itu terus melayarkan kapal ini. si anak kapal yang baru, ikutlah rentak anak-anak kapal lama yang lebih berpengalaman dari kalian. tapi jangan sesekali diam walhal kau tahu dan mahir sesetengah perkara. Tidak salah kau bersuara selagi kena pada tujuan.
          Kapal layarku, ku harap kau terus kukuh membelah samudera. Ku ingin namamu terus menjadi sebutan di setiap destinasi kau berlabuh. Anak-anak kapal baru akan datang saban tahun, Nahkoda akan silih berganti, dan kau akan terus bertukar milik walau belum tahu kapan harinya tiba. Aku bangga belayar bersamamu kapal layarku.
                  
Ashari (September'11)
               

1 comment: